Seni Jimak

Saturday 26 October 2013

Makanan yang berkhasiat tingkat penghasilan air mani

Masih ramai lelaki dan wanita tidak tahu perihal kuantiti air mani. Sejak kebelakangan ini banyak e-mel yang saya terima bertanya mengenai air mani.
Baik suami mahupun isteri menyatakan kebimbangan, lebih-lebih lagi jika tidak mendapat anak walau sudah lama berkahwin. 
Dalam pelbagai soalan, saya tertarik kepada individu yang bertanya mengenai ubat dan makanan yang boleh menambah kuantiti air mani. 

Isi padu air mani yang keluar ketika klimaks berubah mengikut tahap rangsangan seksual, kekerapan persetubuhan dan umur.

Tahap rangsangan membuatkan anggota reproduktif lelaki menjadi mantap dengan kemasukan darah yang banyak dalam pundi prostat, cowpers dan seminal, kemudian dapat menghasilkan air mani yang banyak.
Bagaimanapun, air mani akan berkurangan jika seorang lelaki kerap melakukan persetubuhan atau onani. Ini tidak mengira faktor ghairah atau terangsang seseorang lelaki. 

Oleh itu, tidak hairan jika tidak bersetubuh dalam jangka masa lama, perasaan teruja semakin ketara dan penghasilan air mani juga bertambah. 

Menyentuh aspek umur, pengaruh hormon testosteron memainkan peranan penting. Apabila tahap hormon menurun, rangsangan terhadap pundi tadi menjadi kurang, seterusnya jumlah air mani menjadi sedikit. 

Bagaimanapun, banyak keadaan boleh mempengaruhi jumlah air mani seperti makanan dan makanan tambahan. Lelaki menghasilkan dua hingga enam mililiter (ml) air mani setiap kali klimaks. Jika kerap klimaks, isi padu air mani boleh berkurangan sebanyak ½ ml atau hanya beberapa titik. 

Bagi lelaki, banyak meminum air dapat membantu meningkatkan kuantiti air mani. Anda perlu minum sekurang-kurangnya empat liter sehari. 

Selain itu, daging mengandungi pelbagai nutrien sesuai untuk penghasilan sperma. Ikan tuna, ayam dan daging merah mengandungi asid amino seperti L-Arginine dan L-Carnitine yang penting untuk sperma. 

Tiram dan makanan laut pula mengandungi zink yang penting untuk penghasilan air mani serta keaktifan sperma. Kekacang pula bagus dimakan kerana mengandungi banyak zat galian zink dan selenium. 

Bijirin seperti oat dan granola, buah-buahan seperti buahan citrus, bayam, brokoli dan asparagus juga elok dimakan kerana mengandungi asid folik. 

Buah-buahan tempatan juga mempunyai nutrien baik dan penting untuk penghasilan air mani. Buah nangka dan betik mengandungi banyak antioksida yang boleh mempengaruhi kualiti sperma dalam badan. 

Pendek kata, semua buah-buahan dan sayuran menyumbang kepada isi padu, kesihatan dan kandungan air mani seseorang. 

Perkara yang mendapat kajian klinikal adalah herba akar Tongkat Ali. Ia diuji secara saintifik oleh pakar tempatan dan dilihat boleh menambah isi padu air mani. 

Semua makanan dan suplemen yang saya nyatakan di atas boleh diamalkan jika ingin menambah isi padu air mani yang berkualiti, baik untuk lelaki muda mahupun berumur, sekali gus meningkatkan peluang kehamilan.

Zakar Dan Dubur Bengkak Akibat Buasir

Saya pernah mengalami keadaan sama seperti sekarang tetapi saya biarkan dan masalah ini hilang. Namun, baru-baru ini, zakar dan dubur saya kembali bengkak dan ia tidak hilang seperti sebelum ini dan ia menyakitkan sehingga menyukarkan saya berjalan.
Saya tidak mempunyai masalah ketika membuang air besar, tetapi ia menyakitkan ketika berjalan. Buah zakar juga melendut dan berurat, ia kelihatan seperti tersimpul. Apakah masalah saya sebenarnya? 

KARIM 
Kuala Lumpur

Anda sanggup menderita menahan sakit dan membiarkan masalah yang anda alami berterusan dengan harapan ia lega secara semula jadi.
Mungkin dulu keadaan lain dan masalah bengkak itu tidak seberapa, tetapi masa sudah berlalu dan perubahan yang dulu biasa kini menjadi luar biasa.

Mungkin kerana masalah terbabit berlaku di tempat sulit, anda rasa malu untuk berjumpa doktor. Soalan anda tidak terperinci, namun saya mengagak anda mengalami masalah buasir.

Jika benar, buasir yang anda alami boleh terkeluar atau terjojol dan menjadi ketara apabila ia tidak surut. Masalah buasir akan menjadi kronik selagi puncanya tidak diselesaikan. Ketulan yang terkeluar ialah mukosa lubang dubur yang lemah dan ia tersepit ketika duduk.

Masalah ini mempunyai ubat dan cara rawatannya, namun anda perlu berjumpa doktor. Mengenai buah zakar yang bergayut, ia perkara biasa dan akan lebih ketara apabila umur meningkat dan secara kebetulan kandungan dalam buah zakar berat.

Anda menyatakan ‘urat tersimpul’ kini kelihatan kembang dan timbul. Urat dimaksudkan itu sebenarnya pembuluh darah vena yang kebetulan berpintal dan mengembang akibat kelemahan otot dinding vena.

Keadaan ini dikenali sebagai ‘varikosel’. Sememangnya ia akan kelihatan hodoh walaupun tidak menyakitkan.

Varikosel menjadi masalah apabila lelaki itu mengalami masalah sperma, iaitu bilangan sperma kurang dan profil sperma tidak normal dan mengancam kesuburan lelaki itu.

Jika ia berlaku, doktor akan syorkan supaya varikosel itu diikat atau dibedah. Anda perlu berjumpa doktor keluarga untuk menyelesaikan masalah buasir dan menjalani ujian air mani jika anda belum lagi menimang cahaya mata.

Friday 12 April 2013

Adab hubungan seks pengantin baru

BAGI menjayakan hubungan kelamin pasangan baru berkahwin yang tiada pengalaman mengenai hubungan seks, mereka perlu tahu memainkan peranan masing-masing.
Suami perlu tahu jika ereksi tidak cukup keras dan zakar sukar dimasukkan ke faraj isteri, lebih-lebih lagi untuk melakukan tusukan.

Si isteri pula perlu tahu, jika pembukaan faraj mengecut atau tertutup dengan padat, zakar tidak dapat dimasukkan ke faraj dan jika ia dipaksa, si isteri akan terasa sakit.

Isteri mengawal pembukaan faraj dan menentukan sama ada mahu membuka atau menutupnya. Sememangnya pembukaan faraj tertutup atau rapat dalam keadaan biasa.

Dalam keadaan takut atau ngilu, otot lantai pelvis si isteri atau ‘otot kemut’ mencengkam dan membuatkan pembukaan faraj tertutup lebih padat.

Jika dipaksa melakukan penembusan, faraj boleh tercedera atau terluka. Sudah tentu ia menyakitkan mereka berdua, lebih-lebih lagi si isteri.
Si isteri perlu melegakan otot kemut dan pembukaan faraj, seolah-olah mahu membuang air besar atau air kecil. Dengan cara demikian, mudah bagi suami melakukan tusukan dengan bantuan isteri.

Jika permukaan dan pembukaan faraj kering atau kurang lembap, jeli pelembap seperti ‘Top’Gel’ (Durex) atau mana-mana pelembap yang boleh melicinkan perjalanan boleh digunakan tanpa was-was.
Untuk menguji cara melegakan pembukaan faraj, si isteri boleh menyalurkan satu jari ke dalam faraj dan kemudian mencuba memasukkan dua jari sambil meneliti cara mengizinkan ereksi suami memasuki ruang faraj dengan melegakan pembukaan faraj.

Jika masih gagal menyempurnakan hubungan kelamin, kedua-dua pihak disyorkan berjumpa doktor untuk mendapat bimbingan dan tunjuk ajar. Berjumpa bomoh atau dukun bukan tindakan bijak.

Masalah berlaku bukan kerana ilmu hitam tapi kurang ilmu hubungan seks serta kurang bimbingan dan maklumat mengenai dunia kelamin. Saya boleh dihubungi melalui e-mel dr_tambi@yahoo.com.

Saya syorkan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga membaca buku panduan hubungan seks suami isteri bertajuk ‘Adab Malam Pengantin’ keluaran Telaga Biru.

Sumber

Petanda sakit batu karang

AYA mengalami masalah kencing berdarah. Apakah puncanya serta cara mencegahnya kerana saya berasa sakit, terutama di kepala zakar, ketika membuang air kecil. Saya juga terasa senak pada buah pinggang. Apa perlu saya lakukan dan adakah masalah ini serius?
ZAKUAN
Masjid Tanah




Ada beberapa tanda penyakit serius dan individu yang mengalaminya perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Kencing berdarah satu daripada tandanya.
Jika berlaku tiba-tiba dan tidak menyakitkan, ia mungkin tanda awal kanser untuk lelaki atau perempuan yang berumur.

Secara rambang, perkara yang biasa dikaitkan dengan kencing berdarah ialah penyakit batu karang. Ia boleh berlaku tiba-tiba, tapi ada rasa sakit yang bermula di belakang dan melarat ke penghujung zakar atau buah zakar. Ketika membuang air kecil, kencing mengandungi darah.

Salur kencing pula kadangkala terasa sakit seperti ada ‘pasir’ keluar bersama air kencing. Jika kebetulan dalam keluarga anda pernah terjadi kes batu karang, kemungkinan besar anda mungkin mengalami masalah sama.

Doktor akan lakukan pemeriksaan dan menjadualkan ujian air kencing, dan jika ada darah atau ada sesuatu perlu dikendalikan, pemeriksaan susulan seperti ujian sinar X buah pinggang, pundi kencing dan salur ureter dilakukan untuk meneliti jika ada kesan batu karang. Jika tidak kelihatan, ujian imbasan dilakukan.

Jika didapati batu karang itu besar, cara mengeluarkannya ialah melalui pembedahan. Jika tidak atau kurang daripada satu sentimeter (cm), mungkin ia boleh dihancurkan melalui terapi ESWL, iaitu menggunakan teknologi gelombang bunyi untuk menghancurkannya.

Sumber

Maklumat samar alat besarkan zakar

SATU ketika dulu, pam vakum diperkenalkan sebagai alat yang dapat membantu membesarkan zakar oleh seorang pakar bergelar Dr Chartam.
Doktor ini mengaut untung yang sangat lumayan tetapi kesudahannya, dia didakwa kerana memberi maklumat yang tidak tepat atau menipu.

Ramai pengguna yang menggunakan pam itu menngalami kesan sampingan yang membahayakan anggota kelamin mereka seperti melecet, bengkak, darah beku dalam otot, kekerasan tisu zakar, kerosakan tisu zakar dan pelbagai lagi.

Begitupun, kaedah vakum ini masih digunakan oleh ‘doktor tradisional’ iaitu tukang urut dan sebagainya. Jika mahu dicari, alat vakum ini boleh didapati dengan mudah dan ia juga dijual secara dilonggokkan di tempat tertentu.

Bagaimanapun, ingin saya jelaskan bahawa pam vakum tidak boleh digunakan untuk membesarkan zakar kerana kesan sampingannya yang berbahaya! Jadi alat ini perlu dirampas oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Jika anda masuk ke mana-mana laman web mengenai kesihatan syahwat lelaki, pelbagai produk dan peralatan diperkenalkan kepada anda.

Dulu, alat regangan otot zakar sungguh popular dan kini ada pelbagai alat regangan zakar dengan pelbagai nama dan harga.

Kini ada pula alat pembesar zakar alternatif digelar ‘Phallosan’ yang muncul dalam pasaran antarabangsa sejak 2004. Alat ini menggunakan pendekatan vakum, penarikan dan tambatan.

Zakar divakum dengan menggunakan pam vakum, pangkal zakar ditambat supaya kesan vakum kekal dan zakar ditarik dan ditambat dengan menggunakan tali pinggang penambat.

Jika anda melihat petikan videonya, ia kelihatan sungguh mudah. Mengikut syarikat yang menjual alat berkenaan, lelaki yang mempunyai zakar kecil, bengkok, kecut atau apa saja masalah saiz dan bentuk zakar boleh menggunakan alat Ini.

Setakat kini hanya ada satu kajian yang melaporkan keberkesanan alat itu. Masalah kegunaan atau kesan sampingannya tidak dihuraikan langsung, memberi gambaran ia selamat diguna.

Jika anda tinjau keberkesanan penggunaan alat itu, maklumat diberi adalah samar. Alasan diberi ialah syarikat penjual tidak dapat memberi apa-apa keterangan mengenai keberkesanannya kecuali laporan hasil kajian.

Buat masa kini hanya ada satu hasil kajian dan itupun belum diwartakan dalam jurnal perubatan.

Jika anda tinjau kesan sampingan alat itu, kesan sampingannya ada kaitan dengan penggunaan vakum, kesan tarikan dan tekanan seperti masalah bengkak, radang, kemelecetan, kemunculan gelembung dan banyak lagi.

Harga alat berkenaan pula dianggarkan AS$300 atau hampir RM1,000. Untuk alat ini, saya tidak mahu memberi apa-apa komen kecuali selepas mengujinya.

Saya pernah menulis kepada syarikat terbabit supaya memberi kemudahan kepada saya menguji alat itu, tetapi sehingga kini tiada jawapan.

Saya juga pernah menguji alat Andro-extender dan maklumat yang saya ketengahkan dulu mengenai alat berkenaan ialah keyakinan selepas mengujinya. Bagi mereka yang ingin melihat laporan ujian Andro-Extender, ia dimuatkan dalam laman web www.andromedical.com/.

Untuk alat yang baru ini, saya tidak mempunyai apa-apa pandangan. Namun, bagi mereka yang bertanya mengenai ‘Phallosan’, saranan saya jangan menggunakannya selagi tiada laporan ujian mengenainya. Ini untuk kebaikan anda juga.

Sumber

Senaman bantu elak bermimpi

SAYA selalu mengalami mimpi basah. Begitupun, yang menjadi masalahnya, saya gemar melakukan onani sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Bagaimanapun, jika tidak melakukan onani, saya pasti mengalami mimpi. Pernah saya cuba berhenti melakukan onani, tetapi saya kembali mengalami mimpi basah sehingga tiga kali.

Saya buntu untuk menangani masalah ini. Harap doktor dapat memberi pandangan dan pendapat terhadap masalah ini.

LELAKI KELIRU
Semenyih, Selangor


Mimpi basah lelaki ialah sebahagian proses perubahan akil baligh untuk lelaki dan ini petanda bahawa sistem reproduktif lelaki itu mula aktif.

Jika kebetulan anda mengeluarkan air mani melalui onani, anda tidak akan mengalami mimpi basah atau kurang mengalaminya kerana sistem itu reda akibat onani.

Jika anda tidak melakukan onani, ia akan berlaku. Jadi mimpi basah bukan penyakit, ia perubahan semula jadi iaitu petanda sistem seksual dan reproduktif itu aktif dan sihat.

Jika anda membabitkan diri dalam aktiviti yang menggelorakan perasaan syahwat dan anda tidak melakukan onani, anda boleh mengalami mimpi basah yang kerap.

Ini juga semula jadi kerana sistem syahwat yang bergelora memerlukan kelegaan.

Jika anda tidak mahu melakukan onani dan tidak mahu mengalami mimpi basah yang kerap terhasil daripada fantasi seksual, anda harus mengelakkan aktiviti yang boleh merangsang perasaan syahwat.

Lakukan senaman berkala dan aktifkan diri dengan aktiviti sosial yang membina semangat dan rangkaian sosial. Ini tidak bermakna anda tidak akan mengalami mimpi basah. Ia tetap akan berlaku juga, walaupun kemudian anda akan mendapati ia menjadi kurang dan jarang.

Sumber

Risiko HIV sifar pada pasangan setia

SAYA pernah melakukan seks oral dan menerima seks oral beberapa kali ketika berkunjung ke pusat urut. Setiap kali ia dilakukan dengan tukang urut berbeza tanpa menggunakan kondom.

Pertanyaan saya ialah:

a) Jika tukang urut menghidapi HIV positif, bolehkah saya dijangkiti HIV?

b) Jika saya dijangkiti HIV, berapa lamakah tempoh diperlukan untuk virus menunjukkan keputusan positif jika saya menjalani ujian HIV?

Contohnya, jika seseorang itu melakukan hubungan seks tidak selamat pada hari ini lalu menjalani ujian HIV pada keesokan harinya, adakah keputusan positif akan diperoleh atau perlu menunggu dalam tempoh tertentu sebelum menjalani ujian HIV untuk mendapat keputusan tepat?

c) Bolehkah saya menjalani ujian HIV di sebarang klinik berdekatan atau perlu ke klinik khas? Berapakah kos ujian HIV? Berapa lamakah tempoh bagi mendapatkan keputusan ujian terbabit?

JEJAKA KESAL
Dungun



Hubungan seksual dalam perkahwinan atau antara lelaki dan wanita yang setia antara satu sama lain tidak mempunyai risiko HIV.

Risiko terkena jangkitan daripada wanita yang membawa kuman virus HIV kurang untuk lelaki jika dibandingkan dengan lelaki yang membawa kuman virus HIV.

Jangkitan melalui seks oral, sama ada aktiviti itu diberi atau diterima wanita yang membawa jangkitan kuman HIV, sangat rendah.

Namun ini tidak bermakna tiada jangkitan. Ini juga tidak bermakna jangkitan tidak akan berlaku jika lelaki atau wanita itu menggunakan kondom atau pelapis getah atau ‘vaginal dam’ ketika melakukan seks oral.

Risiko adalah sifar jika tidak melakukannya! Jika individu itu percaya dirinya terdedah HIV kerana amalan seks rambang, jika dia terkena jangkitan, antibodi anti-HIV mula terhasil dalam darahnya.

Pada mulanya tahap antibodi itu kurang dan tidak dapat dikesan walaupun dia terkena jangkitan.

Dalam masa tiga bulan, tahap antibodi berkenaan mula meningkat dan akan memberi laporan positif jika ujian HIV dilakukan kepadanya.

Ada individu penghasilan antibodinya lembap dan mengambil masa lama. Begitupun, ujian HIV selepas enam bulan dapat mengesan jika mereka ada jangkitan HIV. Ujian HIV yang biasa dijalankan hanya mengesan antibodi.

Jika mengesyaki terkena HIV, anda perlu membuat ujian untuk mengesan komponen atau DNA kuman virus itu dengan anggaran kos RM300 hingga RM400.

Untuk ujian mengesan antibodi, laporannya sangat cepat iaitu hanya dalam tempoh dua hari. Begitupun, ada pula yang mengambil masa tiga hingga enam minggu.

Untuk anda, risiko jangkitan HIV sangat rendah dan jika anda mahu menjalani ujian HIV, saya cadangkan anda melakukannya selepas tiga bulan dan jika ragu, buat lagi selepas enam bulan.

Anda boleh menjalani ujian HIV di mana-mana klinik yang mempunyai makmal atau di makmal dengan rujukan doktor atau secara sendiri.

Sumber

Wednesday 27 March 2013

Kurang regangan waktu pagi

Saya berusia 43 tahun dan masih bujang kerana belum bertemu jodoh. Sejak remaja hingga dewasa, saya aktif melakukan onani, kadangkala lima hingga enam kali sehari.
Kini saya terasa sakit di bahagian ‘vas deferen’ sebelah kiri selepas mengambil Bio Zink sebagai makanan tambahan. Saya juga kini kurang mendapat regangan di waktu pagi.

Apakah puncanya dan adakah makanan tambahan ini mempunyai kesan sampingan kepada tahap kesuburan saya?

LAN
Petaling Jaya


Anda semakin berumur tetapi belum bergelar suami kerana tidak bertemu jodoh.
Lagi cepat lagi baik kerana jangka pelupusan sesetengah sistem tubuh badan anda menunjukkan kebarangkalian ia akan sampai tarikh luput.

Sistem syahwat dan reproduktif yang mula bersemarak pada awal belasan tahun boleh membuatkan anda melakukan onani sehingga beberapa kali sehari.

Kini anda kurang aktif. Sistem dan bahagian anggota kelamin yang satu ketika dulu segar dan rancak kini mula ‘meragam’, tiada ereksi pagi dan sugul.

Sama juga dengan bahagian anggota kelamin yang menghasilkan air mani seperti pundi seminal, kini mula terasa sakit.

Pundi seminal lelaki sihat menghasilkan 50 hingga 60 peratus jumlah isi padu air mani. Pundi prostat yang menghasilkan 30 hingga 35 peratus air mani juga mula kurang aktif pada umur lanjut.

Kandungan zink dalam pundi prostat tinggi dan mustahak untuk penghasilan sperma aktif dan normal. Anda nyatakan mengambil tambahan untuk kesihatan.

Ia sekadar makanan tambahan dan bukan keperluan. Ia bukan rawatan atau ubatan yang perlu mendapat pengesahan doktor. Jarang pula makanan tambahan memberi kesan sampingan.

Bagaimanapun, pengambilan itu tidak digalakkan jika amalan gaya hidup sihat tidak dipraktikkan. Anda kini was-was mengenai pengambilan makanan tambahan itu. Anda sepatutnya merujuk doktor jika ada keraguan kesihatan, lebih-lebih lagi jika terasa sakit.

Elok berjumpa doktor untuk pemeriksaan bagi mengetahui tahap kesihatan dan mengesan masalah anda pada peringkat awal.

Sumber

Dilema faraj mudah kering

SAYA berumur 29 tahun dan bernikah 10 bulan lalu. Cecair faraj saya cepat kering ketika melakukan hubungan kelamin bersama suami.
Disebab itu, suami berasa sakit pada zakar dan terpaksa memakai ‘intimate lube’. Adakah masalah ini perkara biasa bagi seseorang wanita dan apakah cara-cara untuk mengatasinya?


SITI
Johor Bahru



Rangsangan seksual mencetuskan tindak balas daripada anggota kelamin wanita. Vulva mengembang, mukosa vestibule (bahagian antara bibir kecil) menjadi lembap akibat pengeluaran cecair daripada pundi Skenes dan Bartolin dan pintu faraj menjadi lega dan kelihatan kemerahan dan basah sedikit untuk menerima tusukan ereksi si suami.

Perubahan ini gagal apabila wanita resah dan gelisah (tertekan) dan ia juga gagal atau kurang lembap apabila wanita mengalami pergolakan hormon atau perubahan lanjut usia atau menopaus. Wanita itu akan berdepan masalah kronik yang mengganggu hubungan kelamin pasangan dikenali sebagai ‘vaginal dryness’ atau kekeringan faraj.

Faraj kering atau cepat kering ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan menjadi dilema sebilangan besar wanita dan simptom ini boleh dikatakan biasa berlaku pada bila-bila masa dalam kehidupan mereka.

Selain perasaan kurang teruja seksual disebabkan perkara lain yang menjadi punca faraj kering ialah pengaruh makanan, tekanan dan masalah imbangan hormon wanita. Memandangkan hubungan kelamin penting dalam institusi berkeluarga, mustahak untuk wanita menyelesaikan masalah ini dengan cara terbaik, seelok-eloknya secara semula jadi tanpa menggunakan pelembap sintetik jika boleh.

Kelembapan faraj semula jadi dan cecair yang membuatkan faraj lembap dihasilkan mukosa faraj, pangkal rahim, cecair daripada rahim dan daripada salur Falopio.

Isi padu kelembapan ialah antara 20 hingga 120 gram dan cecair ini berubah mengikut putaran hormon dan umur yang mana cecair faraj berwarna putih dan lebih jernih ketika perempuan itu pada waktu subur.

Pengaruh hormon estrogen dan progestogen turut memainkan peranan penting dalam mengawal kelembapan faraj. Jika pergolakan hormon berlaku ketika pra menopaus atau menopaus, sebilangan wanita akan mengalami kekeringan faraj yang ketara.

Bagaimanapun, semua golongan wanita sama ada muda atau berumur boleh mengalami kekeringan faraj. Perkara awal yang anda perlu teliti ketika anda berdepan kekeringan faraj ialah ketika anda ada menggunakan pencuci ‘higen’ iaitu sabun pelembap baru, pad sanitari jenama lain, memakan ubat seperti antibiotik atau ubat selesema dan mengamalkan beberapa perkara yang tanpa pengetahuan anda, menjadi punca masalah kekeringan faraj.

Penggunaan produk ‘higen’ peribadi: Semburan peribadi feminin (Feminine Hygiene Spray) dan sabun yang mengandungi bahan anti-bakteria dan boleh mengeringkan mukosa vulva.

Sesetengah jenama sabun yang menggambarkan kelembutan seperti Dove dan Ivory boleh mengeringkan anggota kelamin anda kerana produk ini tiada imbangan pH atau tahap keasidan.

Kebanyakan pencuci feminin boleh memberi banyak masalah daripada kebaikan seperti mengganggu faraj yang kesudahannya mengesatkan mukosa faraj.

Mandi dalam kolam renang dan berendam dalam air yang mengandungi garam yang kononnya dapat menyegarkan badan, boleh menyebabkan kekeringan kulit badan dan terutama sekali vulva dan faraj!

Anggota kelamin anda boleh terdedah kepada bekas sabun pencuci baju yang tertinggal dalam pakaian dalam anda. Ini juga boleh menyebabkan kekeringan faraj.

Pemakanan: Estrogen dan hormon wanita mustahak untuk melembapkan mukosa faraj. Oleh kerana estrogen dihasilkan daripada kolesterol, kemampuan badan menghasilkan kolesterol mencukupi dapat mengimbangkan penghasilan estrogen daripada kolesterol.

Minyak zaitun, minyak hab- batus sauda dan minyak prim- rose mengandungi asid lemak yang sesuai untuk tujuan itu. Selain itu minum air yang mencukupi dapat mengekalkan kelembapan kulit mukosa badan.

Sesetengah minuman tidak sesuai untuk mengekalkan kelembapan kulit seperti minuman kopi dan alkohol.

sumber